The Declaration of Independence in in Bahasa Melayu (Malay Language):
by
Shakila Yacob

4 Julai 1776
Pengistiharan Bersama Tiga Belas Koloni Amerika Syarikat

DEKLARASI KEMERDEKAAN

Apabila dalam perjalanan hidup manusia muncul keperluan bagi suatu bangsa untuk meleraikan ikatan politik yang menghubungkan mereka dengan bangsa yang lain, dan untuk mewujudkan di kalangan kuasa-kuasa di dunia , satu destinasi berasingan dan saksama sebagaimana hak yang telah dianugerahkan oleh Tuhan dan hukum alam semulajadi kepada mereka. Sebagai penghormatan kepada pegangan manusia sejagat perlu bagi mereka mengistiharkan punca-punca yang mendorong pemisahan tersebut.

Kita berpegang kepada kebenaran yang nyata ini, bahawa semua manusia diciptakan sama tarafnya, bahawa mereka dikurniakan oleh Pencipta mereka hak-hak tertentu yang tidak boleh dipisahkan; diantaranya kehidupan, kebebasan dan usaha mengejar kebahagiaan. Dan untuk mendapatkan hak ini, kerajaan ditubuhkan di kalangan manusia, di mana kuasa saksama diperoleh dengan keizinan daripada mereka yang diperintah; dan, apabila apa-apa bentuk pemerintahan memusnahkan usaha-usaha ini, adalah menjadi hak rakyat untuk mengubah atau menghapuskannya dan mendirikan satu kerajaan baru yang asasnya dibentuk berlandaskan prinsip-prinsip tersebut , dan menyusun kuasanya dalam bentuk sedemikian, yang bagi mereka merupakan cara terbaik bagi menghasilkan keselamatan dan kebahagiaan mereka. Kewaspadaan pasti akan menentukan bahawa kerajaan yang sudah lama terbentuk tidak digantikan atas alasan-alasan yang ringan dan berbentuk sementara; dan sewajarnya, pengalaman membuktikan bahawa manusia mampu menahan penyeksaan, selagi boleh menanggung kezaliman, daripada menegakkan hak-hak mereka dengan menghapuskan keadaan yang biasa mereka lalui. Namun apabila penyalahgunaan dan perampasan berlaku secara berpanjangan yang bertujuan mencapai objek yang sama, menunjukkan adanya niat untuk meletakkan mereka di bawah pemerintahan kuku besi, maka, adalah menjadi hak dan kewajipan mereka, untuk menjatuhkan pemerintahan sedemikian dan menyediakan penjaga baru demi keselamatan mereka di masa hadapan. Begitulah seksaan yang telah ditanggung dengan penuh kesabaran oleh koloni-koloni ini, dan sekarang perlu bagi mereka mengubah sistem-sistem kerajaan yang lalu. Sejarah Raja Great Britain yang sedia ada merupakan sejarah penyeksaan dan perampasan yang berlaku berulang kali, kesemuanya, bertujuan secara langsung, mewujudkan pemerintahan tirani mutlak ke atas Negeri-negeri ini. Bagi membuktikannya, fakta-fakta dibentangkan kepada dunia:

Beliau enggan memberi persetujuan kepada undang-undang yang bermanfaat dan perlu bagi kebaikan umum.

Beliau melarang Gabenor-gabenornya meluluskan undang-undang yang perlu dan penting dalam keadaan terdesak kecuali digantung penguatkuasaannya sehingga kelulusan beliau diterima; dan apabila digantung, beliau tidak menghiraukannya sama sekali.

Beliau enggan meluluskan undang-undang lain yang melibatkan penduduk di wilayah-wilayah yang luas, kecuali jikalau, penduduk tersebut melepaskan hak perwakilan dalam badan perundangan, iaitu hak yang tidak ternilai bagi mereka tetapi bagi tirani merupakan sesuatu yang menakutkan.

Beliau menganjurkan persidangan badan-badan perundangan di tempat-tempat yang pelik , tidak selesa dan jauh dari tempat simpanan dokumenawam mereka, semata-mata bertujuan meletihkan mereka agar akur dengan langkah-langkah beliau.

Beliau telah membubarkan dewan-dewan perwakilan berulang kali kerana mereka menentang dengan tegas, pencabulan beliau terhadap hak rakyat.

Beliau enggan, dalam satu tempoh yang lama setelah pembubaran sedemikian, untuk membenarkan orang lain dilantik, di mana kuasa perundangan gagal menghapuskannya, telah dikembalikan kepada rakyat umum untuk menjalankannya; dalam masa yang sama, negeri-negeri seterusnya terdedah kepada segala bahaya pencerobohan dari luar dan pergolakan dari dalam.

Beliau telah berusaha mencegah penduduk Negeri-negeri ini, bagi tujuan tersebut, menghalang undang-undang naturalisasi orang asing, menolak kelulusan undang-undang lain untuk mengalakkan migrasi mereka ke sini, dan meningkatkan syarat-syarat bagi pembahagian baru tanah.

Beliau telah menghalang perlaksanaan keadilan apabila enggan memberi persetujuannya kepada undang-undang bagi mengujudkan kuasa perhakiman.

Beliau menjadikan para hakim bergantung kepada kehendak beliau seorang sahaja bagi tempoh perkhidmatan jawatan mereka, dan juga terhadap jumlah dan bayaran gaji mereka.

Beliau mewujudkan banyak jawatan baru dan menghantar ramai pegawai untuk menindas rakyat kita dan melemahkan mereka.

Beliau mewujudkan di kalangan kita, di masa yang aman, angkatan tentera tetap, tanpa kebenaran badan perundangan kita.

Beliau telah mengusahakan agar tentera bebas daripada, dan lebih agung daripada, kuasa sivil.

Beliau telah bersama-sama dengan pihak yang lain, menundukkan kita kepada satu bidangkuasa yang asing dari Perlembagaan kita dan tidak diiktiraf oleh undang-undang kita, dengan memberikan persetujuan kepada tindakan-tindakan mereka yang seolah-olah mengikut perundangan---

Bagi menempatkan angkatan-angkatan bersenjata yang besar di kalangan kita;

Bagi melindungi mereka melalui perbicaraan palsu ke atas hukuman bagi mana-mana pembunuhan yang mereka lakukan ke atas penduduk Negeri-negeri ini;

Bagi memutuskan perdagangan kita dengan seluruh dunia;

Bagi memaksa cukai ke atas kita tanpa kebenaran kita;

Bagi menghalang kita, dalam banyak kes, faedah perbicaraan melalui juri;

Bagi mengangkut kita ke seberang laut untuk dibicarakan bagi kesalahan-kesalahan palsu;

Bagi menghapuskan sistem undang-undang Inggeris yang bebas di wilayah yang berjiran, dengan itu mewujudkan satu pemerintahan arbitrari, dan memperluaskan sempadannya, agar dapat sekaligus menjadi contoh dan alat yang sesuai bagi memperkenalkan pemerintahan mutlak kepada koloni-koloni ini;

Bagi menarik piagam-piagam kita, menghapuskan undang-undang kita yang paling bernilai, dan mengubah, pada asasnya, kuasa-kuasa kerajaan kita.

Bagi mengantung badan perundangan kita sendiri dan mengisytiharkan diri mereka berkuasa untuk membentuk undang-undang bagi kita dalam segala apapun kes.

Beliau telah melepaskan hak kuasa kerajaan di sini dengan mengisytiharkan kita berada di luar dari perlindungannya dan mengisytiharkan perang terhadap kita.

Beliau telah merampas sumber laut kita, merosakkan pesisiran pantai kita, membakar bandar-bandar kita dan memusnahakan kehidupan rakyat kita.

Beliau pada masa ini, mengangkut pasukan tentera asing untuk melakukan kerja-kerja pembunuhan, pemusnahan dan tirani yang telahpun bermula dengan peristiwa-peristiwa kejam dan khianat yang hampir setanding dengan zaman gelap, dan sama sekali tidak setanding dengan kedudukan sebagai seorang ketua negara yang bertamadun.

Beliau menyekat rakan sewarganegara kita; yang ditangkap di perairan laut, untuk mengangkat senjata menentang negara sendiri, untuk menjadi pembunuh sahabat-sahabat dan saudara-saudara mereka atau menjadi mangsa korban mereka sendiri.

Beliau telah merangsangkan pemberontakan tempatan di kalangan kita dan memaksa ke atas penduduk kita di sempadan menerima orang-orang Indian yang ganas dan tidak bertamadun, yang hokum peperangan mereka telah jelas diketahui, iaitu tidak membezakan usia, jantina dan keadaan.

Dalam setiap peringkat penindasan ini, kami telah mempetisyen agar kesalahan-kesalahan ini dibetulkan dengan secara paling rendah hati; namun, petisyen demi petisyen yang dibuat hanya di balas dengan penindasan yang berulangan. Seorang putera yang wataknya dinodai oleh setiap tindakan yang boleh ditakrifkan sebagai tirani adalah tidak sesuai untuk menjadi pemerintah satu rakyat yang bebas.

Kita juga telah memohon belas dari saudara-saudara Inggeris kita. Kita telah memberi amaran kepada mereka, dari masa ke semasa, terhadap usaha-usaha yang dibuat oleh badan perundangan mereka yang memaksa bidang kuasa mereka ke atas kita secara tidak sah. Kita telah mengingatkan mereka tentang keadaan kita ketika berhijrah dan membina petempatan disini. Kita telah merayu kepada keadilan tempatan dan kebesaran jiwa mereka dan kita telah menjelmakan kepada mereka, melalui dasar ikatan persaudaraan kita, untuk menolak penindasan-penindasan ini, yang pasti akan menggangu perhubungan dan pergaulan kita. Mereka juga telah memekakkan telinga kepada suara-suara keadilan dan pertalian darah. Oleh itu, kita harus akur kepada kemestian yang mengutuk pemisahan kita, dan melihat mereka, sebagaimana kita melihat manusia lain, sebagai musuh di waktu peperangan, dan rakan di waktu aman.


Dengan ini, kita para wakil negara Amerika Syarikat dalam perhimpunan Kongres Am , merayu kepada Hakim Agung Dunia bagi kebenaran niat-niat kita, atas nama dan dengan kuasa rakyat koloni-koloni ini, dengan ini, mengumumkan dan mengisytiharkan bahawa koloni-koloni yang bersatu ini adalah, dan mengikut haknya harus menjadi, negeri-negeri bebas dan merdeka; bahawa mereka dibebaskan daripada segala kesetiaan kepada Raja Inggeris dan segala hubungan politik di antara mereka dan dengan negara Great Britain adalah, dan seharusnya, dileraikan secara keseluruhan; dan bahawa, sebagai negeri yang bebas dan merdeka, mereka mempunyai kuasa penuh untuk melancarkan perang, mengadakan pendamaian, membentuk perikatan, mewujudkan perdagangan, dan untuk melakukan semua tindakan dan perkara lain yang berhak dilakukan oleh sebuah negara bebas dan merdeka. Dan bagi mendukong deklarasi ini, kita bergantung sepenuhnya kepada perlindungan yang Maha Kuasa, kita saling berjanji antara satu sama lain untuk mempertaruhkan nyawa kita, rezeki kita dan maruah suci kita.

· New Hampshire: Josiah Bartlett, William Whipple, Matthew Thornton
· Massachusetts: John Hancock, Samual Adams, John Adams, Robert Treat Paine, Elbridge Gerry
· Rhode Island: Stephen Hopkins, William Ellery
· Connecticut: Roger Sherman, Samuel Huntington, William Williams, Oliver Wolcott
· New York: William Floyd, Philip Livingston, Francis Lewis, Lewis Morris
· New Jersey: Richard Stockton, John Witherspoon, Francis Hopkinson, John Hart, Abraham Clark
· Pennsylvania: Robert Morris, Benjamin Rush, Benjamin Franklin, John Morton, George Clymer, James Smith, George Taylor, James Wilson, George Ross
· Delaware: Caesar Rodney, George Read, Thomas McKean
· Maryland: Samuel Chase, William Paca, Thomas Stone, Charles Carroll of Carrollton
· Virginia: George Wythe, Richard Henry Lee, Thomas Jefferson, Benjamin Harrison, Thomas Nelson, Jr., Francis Lightfoot Lee, Carter Braxton
· North Carolina: William Hooper, Joseph Hewes, John Penn
· South Carolina: Edward Rutledge, Thomas Heyward, Jr., Thomas Lynch, Jr., Arthur Middleton
· Georgia: Button Gwinnett, Lyman Hall, George Walton.